Gempar!! Kisah Lebai Indonesia Hidup Mewah Di Hulu Langat


Berlagak alim mengalahkan ulama tersohor dengan serban melilit di kepala. Dapat pula gelaran ustaz entah siapa yang bagi. Tak pasal-pasal, jadi sanjungan orang tempatan untuk merujuk hal agama, malah ada yang sanggup cari untuk dapat air jampi!
 
Paling ‘menakjubkan’, dengan penampilan sedemikian rupa, sekatan jalan raya yang dibuat oleh pihak polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) boleh lolos tanpa pemeriksaan.
 
Begitu senang hidup mereka memukau dan menumpang di negara Malaysia yang aman makmur tanpa perlu bersusah payah mencari pekerjaan, rezeki datang bergolek depan mata.
 
Yang menyara mereka ialah orang tempatan yang tidak boleh dielak daripada berhubung dengan Lebai Indonesia yang kini semakin ramai hidup mewah dengan air jampi dan ilmu agama yang belum pasti kelulusannya.
 
Seorang anggota keselamatan di daerah Hulu Langat yang enggan namanya disiarkan berkata, ramai yang telah ditangkap dan dihantar balik ke negara asal mereka tetapi selepas tiga bulan, mereka muncul lagi.
 
"Mereka balik sebab kebanyakannya telah berkahwin dengan wanita tempatan dan beranak pinak. Tak tahu macam mana mereka boleh datang balik tetapi pengaruh mereka cukup ramai.
 

"Sampai ke satu tahap, orang tempatan sanggup jadi penjamin jika mereka ditangkap untuk menyelamatkan lebai-lebai Indonesia ini,” ceritanya kepada wartawan MalaysiaGazette pada satu pertemuan di Kajang.
 
Katanya lagi, boleh dikatakan hampir semua lebai Indonesia ini tidak pergi ke masjid untuk solat jemaah kecuali hari Jumaat.
 
"Mereka yang berusia antara 30 hingga 60 tahun ini tak berani duduk di kedai-kedai kopi tetapi lebih banyak menghabiskan masa di rumah sebab kebanyakan jiran tahu belang mereka.
 
"Orang yang datang jumpa mereka untuk dapatkan air jampi atau belajar agama adalah orang luar kawasan yang tidak kenal siapa mereka.
 
"Ada juga yang datang jemput mereka menaiki kereta untuk rawatan di luar kawasan dan pastinya bayaran yang diperoleh cukup lumayanlah," ceritanya yang hanya dikenali sebagai Din Rambo.
 
Tambahnya, mereka akan pulang ke Indonesia setiap hujung bulan selama dua atau tiga hari untuk hidupkan visa pelancong dan biasanya persinggahan mereka ialah Batam.
 
"Semuanya berlaku dalam keadaan yang amat selesa tanpa perlu disoal jawab oleh pihak berkuasa Malaysia walaupun mereka ini tidak ada permit kerja untuk tinggal lama di negara ini.
 
"Hanya dengan imej alim dengan serban, mereka ini tak perlu bersusah payah untuk melepasi apa juga halangan malah ramai orang kita yang dengan sendirinya memanggil mereka kiyai atau haji secara otomatik akan meletakkan lebai-lebai Indonesia ini sebagai ulama.
 
"Helah mereka sudah lama malah orang tempatan sendiri sudah bosan dengan cara hidup mereka yang selesa tanpa perlu bekerja sedangkan orang kita berhempas pulas cari duit untuk menyara hidup," ceritanya.
 
Sambil meneguk minuman, Din Rambo berkata, ketegasan pihak berkuasa sangat penting bagi memastikan kegiatan lebai-lebai Indon ini dihentikan agar tidak sewenang-wenangnya memperdaya orang tempatan.
 
"Sampai bila mereka ini akan bebas menipu orang kita? Telah bertahun-tahun mereka perbodohkan rakyat negara kita dan saya rasa perkara ini mesti dihebahkan kepada umum.
 
"Orang tempatan perlu ada kesedaran dan jangan biarkan kita terus ditipu oleh lebai-lebai Indonesia ini," ujarnya.
 
Lebih membimbangkan kata Din Rambo, tiada siapa yang tahu setinggi mana ilmu yang dimiliki lebai-lebai Indonesia ini kecuali kaum kerabat mereka yang terdiri daripada rakyat Indonesia yang telah lama menetap di sini. - MalaysiaGazette

0 comment... add one now