Rintihan Mangsa Pusat Pemindahan Sedakan Makanan Sekali Sehari Sahaja


  • Khairy Jamaluddin (kanan) mendengar rintihan seorang penduduk mengenai catuan makanan di pusat pemindahan banjir SMK Tengku Indera Petra 2 ketika melawat Kampung Nerang.


GUA MUSANG - Mangsa banjir yang berada di pusat pemindahan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Indera Petra 2 mendakwa berdepan dengan catuan makanan mulai semalam. 


Pusat pemindahan yang masih menempatkan 1,500 mangsa banjir itu sebelum ini menyediakan makanan tiga kali sehari, tetapi mulai semalam hanya sekali sehari. Makanan pula perlu dituntut jam 3 petang. 

Mangsa banjir terbabit mengemukakan masalah itu kepada Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin ketika lawatan beliau di Kampung Nerang, di sini, petang semalam. Penduduk, Mahani Mohd Nawi, 34, berkata, berikutan dengan catuan makanan itu mangsa banjir terpaksa mengeluarkan perbelanjaan sendiri membeli makanan di luar. Menurutnya, lebih menyedihkan, sebungkus nasi untuk sarapan pagi dijual dengan harga RM6 dan bayangkan jika sebuah keluarga itu mempunyai anak yang ramai. 

“Keadaan itu sudah tentu membeban mereka, sedangkan setiap keluarga yang kehilangan tempat tinggal memerlukan banyak perbelanjaan lagi selepas ini kerana kediaman dihanyutkan arus. 

“Saya sendiri hairan dengan apa yang berlaku di pusat pemindahan banjir itu. Hanya sekali sehari untuk makan nasi dengan menggunakan kupon disediakan,” katanya. Razana Mohd Noor, 46, pula berkata, mangsa banjir memang memerlukan masa yang lebih panjang lagi untuk tinggal di pusat pemindahan itu kerana kebanyakan daripada mereka hilang tempat tinggal. 

"Sudah seminggu saya tinggal di sini, tidak pernah berlaku masalah catuan makanan, tetapi tiba-tiba mulai hari ini (semalam) kami hanya makan sekali sehari. “Saya tak tahu masalah apa yang berlaku, tapi saya harap ia dapat diatasi. Di mana kami nak cari makan nanti,” katanya.

sumber : sinarharian

0 comment... add one now