KUALA TERENGGANU : Kementerian Pendidikan akan mengunjungi dan menghulurkan sumbangan kepada guru yang mati lemas di Kampung Geliga Che Akob, esok (hari ini).
Timbalan Pengarah Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT), Hashim Mohd Zin, berkata pegawai khas, Datuk Rosol Wahid akan mewakili Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh memberikan sumbangan itu.
Beliau berkata, sumbangan yang diberikan bagi mengenang jasa dan pengorbanan mangsa, Norhayati Sulong, 37, sebagai guru melalui Kementerian Pendidikan.
"Bantuan ini daripada Kementerian Pendidikan. Sekiranya mangsa pernah menjadi ahli kebajikan, dia layak menerima daripada tabung kebajikan," katanya di sini, semalam.
Rabu lalu, guru berusia 37 tahun itu mati lemas bersama suaminya, Suhaimi Awang, 37, apabila bot penyelamat yang dinaiki bersama lima mangsa banjir dan tiga anggota bomba terbalik ketika melalui pusaran air banjir yang melanda kediaman mereka. -bharian.com.my